Sunday 25 September 2011

cinta


Kenapa motivasi cinta?
Saya mengenang kembali tujuan saya menghasilkan buku ini. Bukan untuk mencari populariti dan bukan niat saya untuk menjadikan buku ini best seller, ia cuma satu anugerah tidak terhingga andai diberi peluang. Namun jauh di sudut hati ketika itu, saya ingin melihat masyarakat kita terdidik dengan nilai kerohanian tinggi agar remaja mengenali diri, suami isteri saling mengerti dan lantas melahirkan institusi keluarga yang bahagia.
Hari demi hari memang kita sering dihidangkan dengan masalah politik tanah air tetapi kita jangan lupa bahawa saban hari kita juga dihidangkan dengan masalah keruntuhan akhlak, masalah pergaulan bebas dan masalah sosial di sana sini tanpa ada lagi rasa malu asalkan nafsu dapat dipuaskan.
Bayangkan perempuan sudah hilang dara pada usia 13 tahun, ketagihan hubungan seksual, bercinta hingga ke "dalam kain", sanggup membawa kekasih yang dicintai ke seberang.  Ini cuma kes yang didedahkan di dalam akhbar tempatan namun saya yakin masih banyak lagi perkara sebegini berlaku di luar sana. Bukan berganda bahkan berkali-kali ganda.
Sedih dan geram. Jujurnya, saya cuba untuk menyentuh golongan ini secara lembut, baik remaja, suami isteri, mahupun keluarga supaya mengerti di sebalik kalam cinta yang diluahkan dan yang dipatri antara kalian. Jangan lupa ramai juga di kalangan mereka berlatar belakangkan agama tetapi masih gagal apabila berhadapan krisis hati dan soal cinta. Benteng iman perlu diperkuatkan daripada rebung lagi. Anak-anak harus dididik dan diajar supaya mereka kenal cinta dan Pencipta cinta.
Cinta ialah sesuatu yang sering kita bicarakan, cuma cara dan kaedah kita bercinta sahaja yang berbeza namun ia masih memerlukan penghayatan yang mendalam. Cinta yang kita mahukan adalah bersalut redha Ilahi, cinta kita kepada pasangan kerana cinta kita kepada Ilahi dan janganlah kita halalkan cinta sebelum berkahwin kerana ia penuh noda. Berilah cinta kita sepenuhnya kepada pasangan.
Buatlah sesuatu atas dasar mencari redha Allah S.W.T. walaupun perlakuan tidak semudah tutur kata. Perjuangan itu memang memenatkan dan kadangkala mengundang rasa putus asa. Namun, ketahuilah bahawa penat itulah yang bakal melahirkan izzah seseorang hamba dan sesungguhnya ketabahan tinggi nilainya di sisi Allah S.W.T..
Duhai isteri, belajarlah untuk menjadi sekuat Siti Hajar dan seteguh Siti Fatimah tatkala berhadapan dengan hidup yang serba kekurangan. Cinta mereka kepada Allah S.W.T. tidak pernah kurang. Inilah mahar yang harus dibayar demi meraih kekuatan cinta abadi dan iman yang kukuh. Segala-galanya kerana Allah S.W.T..
Benarlah kata orang;
"Allah S.W.T. bukan sahaja menguji cinta kita kepadanya tapi cinta kita kepada-Nya. Pulihkan cinta kalian kepada-Nya, demi cinta kalian kepadanya. "

No comments:

Post a Comment